Annuar Musa akui kepintaran Rafizi, dakwa jadi mangsa pembunuhan karakter

Politik

PETALING JAYA: Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kekalahan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai satu bentuk pembunuhan karakter politik oleh kepemimpinan partinya sendiri.

Annuar berkata, walaupun kekalahan kepada Nurul Izzah Anwar itu sudah dijangka, Mohd. Rafizi dilihat tetap memberi tentangan bermaruah dan menunjukkan semangat juang tinggi dalam proses demokrasi PKR.

“Rafizi tidak menang. Itu telah diduga. Beliau tewas tetapi dengan berlawan. Rafizi adalah contoh mangsa political assassination (pembunuhan karakter politik) oleh pimpinan partinya sendiri. Kesalahannya kerana kepintarannya,” katanya dalam hantaran menerusi platform Facebook, hari ini. 

Semalam, Nurul Izzah menewaskan Mohd. Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu dengan meraih 9,803 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa tepat pukul 10 malam dalam Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. 

Annuar turut menyatakan keyakinan bahawa Menteri Ekonomi itu tidak akan hilang dari pentas politik negara, memandangkan landskap politik Malaysia kini sedang melalui fasa perubahan yang dinamik.

“Rafizi tidak semestinya lenyap dari landskap politik negara. 

“Beliau sesuai menyertai ‘payung besar’ yang bakal membawa transformasi sebenar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya merujuk kepada potensi penyatuan atau gabungan baharu politik menjelang pilihan raya akan datang. – UTUSAN