Lantikan politik bukan salah guna kuasa

Politik

JOHOR BAHRU: Lantikan politik dilakukan sesebuah kerajaan dengan mengangkat individu yang berkelayakan seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia merupakan ‘balasan’ selayaknya diterima individu terlibat atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti politik yang menjadi kerajaan kerana terdapat ramai yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan itu.

“Saya teringat, seorang individu dikenali sebagai Pak Kudus di Tanjung Karang. Dia antara individu terawal menyokong saya ketika dipecat dahulu berbekalkan pencen RM1,800 sebulan.

“Ada pensyarah akademik, ada doktor pakar yang hilang kerja, kehabisan ratusan ribu ringgit tetapi tidak pernah minta balasan, sebaliknya menghabiskan sisa hidup secara sederhana sahaja.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak, sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya dalam sesi penggulungan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

Tambah Anwar, PKR merupakan sebuah parti yang dianggotai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang dengan setiap golongan akan diberikan hak sama rata.

“Insya-Allah, kita akan bantu ahli-ahli yang telah berjuang demi parti. Kita parti pelbagai kaum yang serius, induknya mungkin Melayu dan bumiputera tetapi mewakili semua kaum. Orang Cina dan India juga diangkat oleh ahli-ahli Melayu untuk menjawat jawatan Naib Presiden,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PKR itu, menegaskan kemenangan anak sulungnya, Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden bukan satu bentuk nepotisme, sebaliknya adalah aspirasi dan kehendak akar umbi.

Katanya, dakwaan pihak yang mengatakan perkara itu sebagai nepotisme adalah tidak adil terhadap dirinya dan PKR.

“Saya masih ingat, ketika berbaki beberapa jam sahaja saya akan ditangkap polis untuk dipenjarakan, saya tiada pilihan daripada memilih Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan saya.

“Dia juga tidak tahu berapa lama perlu galas tanggungjawab itu. Ketika Nurul Izzah terpaksa tinggalkan universiti untuk sambung perjuangan ini, tiada pula pihak bangkitkan nepotisme ketika itu,” tegasnya. – UTUSAN