KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kini selangkah untuk menebus kekecewaan tewas di pentas akhir Malaysia Masters 2023 selepas mara ke final edisi kali ini dengan kemenangan bergaya, semalam.
Gandingan No. 8 dunia itu hanya memerlukan 31 minit untuk menundukkan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 21-14 di separuh akhir di Axiata Arena, sekali gus melakar kemenangan pertama ke atas lawan itu selepas dua kekalahan sebelum ini.
Turun selaku pilihan kelima kejohanan, Kai Wun berkata beliau bersama Wei Chong menampilkan corak permainan pantas dan agresif sejak awal permainan, selari dengan pendekatan mereka sewaktu menjuarai Indonesia Masters pada Januari lalu.
“Kita tak fikir pasal itu dulu (kejuaraan), kita cuma main ikut cara sekarang dan pastikan prestasi semasa kami kekal di tahap terbaik.
“Ada masa kita boleh bermain baik macam Indonesia Masters, tapi belum konsisten lagi. Jadi kami cuba kekalkan prestasi ini sampai ke penghujung kejohanan,” kata Kai Wun kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.
Dalam pada itu, Wei Chong pula mahu terus memberi tumpuan kepada aksi final dan menegaskan keutamaan mereka adalah mengekalkan mutu permainan, bukan terlalu memikirkan kejuaraan.
“Ini baru satu perlawanan, bukan semua perlawanan akan jadi macam ini (kemenangan). Jadi kita kena terus fokus untuk aksi seterusnya,” kata Wei Chong.
Pada edisi 2023 lalu, beregu negara itu tewas kepada bekas juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 22-24, 21-19 pada aksi final.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai kejohanan bertaraf Super 500 itu adalah menerusi Goh V Shem-Lee Khim Wah pada tahun 2013.-UTUSAN