PM jumpa barisan Kabinet hari ini, isu kekosongan menteri tidak dibincang

Politik

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan ada pertemuan antara barisan Kabinet dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, pertemuan itu berlangsung sekitar pukul 2 petang tadi.

“Ya. Ada perjumpaan dengan Perdana Menteri tadi, pada pukul 2 tadi,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan Bil. 1 2025, di sini hari ini.

Ditanya sama ada perbincangan bagi mengisi dua kekosongan jawatan Menteri pada pertemuan itu, Loke berkata, isu itu tidak dibincangkan pada pertemuan itu.

“Saya tidak dimaklumkan ada perubahan menteri. Perdana Menteri kata Menteri Pengangkutan kekal,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menjelaskan tiada sebarang rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat susulan pengunduran Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri berkata, perkara itu belum dapat diputuskan selagi kedua-dua menteri terbabit masih dalam tempoh cuti perkhidmatan mereka.

Semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meletak jawatan sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun ini diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa yang mengambil langkah sama berkuat kuasa 4 Julai depan.

Keputusan berkenaan susulan kegagalan mereka mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 minggu lalu. – UTUSAN