PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan dibuai kemenangan apabila bakal berdepan cabaran getir menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir Terbuka Singapura esok.
Gandingan No. 3 dunia itu mara selepas mengetepikan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-17 dalam masa 33 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kemenangan tersebut menjadi penebus maruah selepas kekecewaan di final Malaysia Masters minggu lalu serta suntikan moral menjelang aksi esok.
Namun, Wooi Yik jelas tidak mahu terlalu yakin apabila menyifatkan beregu India itu sebagai ancaman sebenar selepas pulih daripada kecederaan.
“Mereka mengalami kecederaan sebelum ini dan kami tahu mengenai perlawanan terkini lawan kami. Jadi, rasanya ia situasi yang berbeza berbanding pertembungan Olimpik sebelum ini.
“Rasanya sekarang kami hanya mahu beraksi sebaik mungkin menentang mereka dan lihat apa yang berlaku esok. Kami akan menonton rakaman perlawanan mereka malam ini, untuk lebih faham permainan mereka,” kata Wooi Yik.
Gandingan Rankireddy-Shetty membuktikan kemampuan mereka apabila mengejutkan beregu No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam suku akhir hari ini. – UTUSAN