PETALING JAYA: Bintang perseorangan negara, Ng Tze Yong bakal sekali lagi ‘hilang’ dari pentas antarabangsa akibat kecederaan yang disyaki membabitkan anterior cruciate ligament (ACL).
Spekulasi itu tercetus selepas pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan lutut kanan ketika aksi pusingan pertama Malaysia Masters minggu lalu di Axiata Arena.
Insiden itu berlaku ketika perlawanan menentang pemain Hong Kong, Angus Ng, dengan Tze Yong terpaksa menarik diri semasa sedang mendahului 4-3 pada set kedua.
Apa yang lebih memilukan, Tze Yong baru sahaja kembali beraksi selepas berehat panjang lebih setahun akibat dua pembedahan membabitkan kecederaan tulang belakang.
Difahamkan kecederaan ACL yang disyaki itu masih menunggu pengesahan rasmi, namun ianya cukup untuk mencetus kebimbangan dalam kem badminton negara.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen ketika diminta mengulas berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh sebelum membuat sebarang pengesahan.
“Kami sedang tunggu laporan lengkap daripada pakar sebelum boleh ulas lanjut,” kata Jonassen.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini hanya mengesahkan Tze Yong mengalami regangan lutut dan perlu direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu. – UTUSAN