KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih berteka-teki tentang status pemain warisan baharu yang bakal mewakili skuad kebangsaan.
Pengendali kelahiran Australia enggan mengulas lanjut tentang kehadiran pemain warisan dalam skuadnya biarpun ketika ini ada tiga nama disebut-sebut bakal melaporkan diri.
Menurut Cklamovski, apa yang beliau tahu adalah hanya pemain berstatus warganegara Malaysia akan dipertimbangkan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
Selain itu katanya, beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan kemasukan beberapa nama yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
“Tidak, anda lebih tahu daripada saya ketika ini. Banyak nama yang saya lihat di media adalah nama yang saya sendiri belum pernah dengar.
“Jadi, banyak spekulasi sedang berlaku. Saya hormati itu, tetapi fokus saya adalah kepada perlawanan esok (menentang Cape Verde),” katanya.
Ketika ini, Rodrigo Holgado, Jefte Betancor dan Jon Irazabal dikaitkan dengan Harimau Malaya termasuk difahamkan telah terbang ke Malaysia untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.
Cklamovski menyifatkan keterujaan peminat terhadap kehadiran pemain kacukan itu sebagai satu petanda bahawa semangat dan minat terhadap bola sepak negara masih membara.
“Saya boleh rasakan betapa kuatnya sokongan serta kecintaan penyokong terhadap skuad kebangsaan. Ia sesuatu yang amat luar biasa, budaya bola sepak di Malaysia sangat unik dan istimewa,” ujarnya.
Katanya, pemain yang terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan perlu benar-benar layak dari segi status kewarganegaraan dan sanggup berjuang sepenuh hati demi lencana di dada.
“Sesiapa sahaja yang menyarung jersi Harimau Malaya mestilah rakyat Malaysia. Kita mahukan pemain yang bersedia memberi segalanya untuk negara dan membanggakan penyokong,” katanya.
Dalam pada itu Cklamovski berkata, tumpuan utama ketika ini adalah persiapan pasukan menjelang aksi penting menentang Vietnam pada saingan Kelayakan Piala Asia 2027.
“Kami kini berada di fasa akhir persiapan dan perhatian sepenuhnya perlu diberikan kepada pasukan. Setiap perlawanan sangat penting dan kami mahu meraih positif,” katanya.-UTUSAN