Irfan buru rekod 26 tahun Sukan SEA

Sukan

PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memasang impian untuk memadam rekod 26 tahun milik atlet Singapura, Wong Tuck Yim di Sukan SEA Thailand 2025.

Catatan 59.50 meter (m) yang dilakukan Tuck Yim pada edisi 1999 di Brunei kekal menjadi rekod Sukan SEA dan ia menjadi sasaran utama Irfan dalam misi seterusnya di Bangkok hujung tahun ini.

Jurulatihnya, Frank Petrovic mengesahkan anak buahnya itu bukan sahaja menyasarkan emas tetapi juga mahu mengubah sejarah temasya dwitahunan dengan memecahkan rekod milik atlet Singapura itu.

“Masih ada perkara yang perlu ditewaskan, bukan sekadar menang, jadi tahun ini kita sasarkan pingat emas dan juga rekod Sukan SEA,” kata Petrovic ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Sejak memenangi emas pertamanya di Myanmar 2013, Irfan terus mendominasi acara tersebut di rantau Asia Tenggara, namun masih belum mampu menembusi angka keramat 59.50m dalam saingan Sukan SEA.

Dalam masa yang sama, atlet berusia 30 tahun itu juga belum berpuas hati dan menyifatkan Sukan SEA hanya sebagai platform untuk menamatkan tahun 2025 dengan lebih cemerlang.

“Saya mahu lebih daripada sekadar emas, sebab saya tidak pernah menang di Sukan Asia walaupun saya ada tiga pingat ATC,” katanya.

Di Kejohanan Olahraga Asia (ATC) 2025 yang berlangsung di Gumi, Korea Selatan, minggu lalu, Irfan membawa pulang gangsa selepas mencatat balingan sejauh 58.82m.

Itu merupakan pingat ketiga Irfan di pentas benua selepas perak di India 2017 dan gangsa di Bangkok 2023, selain kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan 62.55m yang dicapai pada 2017.

Ketika ini, Irfan memegang rekod kebangsaan dengan balingan sejauh 62.55m yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Austrian di Linz, Austria pada 2027, manakala catatan terbaiknya musim ini adalah 60m yang dilakar di Queensland, Australia pada Mac lalu.-UTUSAN