KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan pasukan kebangsaan sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk jendela aksi antarabangsa pada September ini dan tidak akan terbabit dalam sebarang kejohanan di Indonesia.
Menurut beliau, segala perancangan itu sudah ditetapkan lebih awal dan bukannya dibuat secara tergesa-gesa.
“Kami memang sudah merangka jadual pasukan sejak awal lagi. Pada bulan September, kami tidak mempunyai kelapangan untuk menyertai kejohanan di Indonesia.
“Sebaliknya, kami akan umumkan sesuatu yang menarik tidak lama lagi. Ia adalah hasil perancangan yang sudah dimuktamadkan beberapa minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar.
Jelas Cklamovski, walaupun Harimau Malaya tidak akan beraksi dalam kejohanan di Indonesia, para penyokong tidak perlu gusar kerana skuad negara tetap akan menjalani perlawanan penting pada bulan berkenaan.
“Saya yakin rakyat Malaysia akan teruja dengan apa yang bakal diumumkan. Ini bukan keputusan tergesa-gesa, malah sudah disahkan beberapa bulan lalu,” ujarnya.
Terdahulu, hasrat penyokong bola sepak Asia Tenggara untuk menyaksikan pertembungan klasik antara Malaysia dan Indonesia pada jendela FIFA September ini tidak kesampaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak jemputan rasmi daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
Presiden PSSI, Erick Thohir dalam kenyataan kepada media Indonesia mengesahkan pihaknya sudah menghantar jemputan kepada Malaysia selain Kuwait dan Lubnan untuk aksi persahabatan, namun FAM mengambil keputusan untuk tidak menyertainya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan itu dibuat kerana Cklamovski mempunyai perancangan lain yang lebih sesuai dengan hala tuju pembangunan skuad kebangsaan.-UTUSAN