Pearly-Thinaah lepasi halangan awal di Istora Senayan

Sukan

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat 16 terbaik selepas membenam cabaran pasangan Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 4 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu ke-14 dunia 21-16, 21-17 dalam masa 42 minit.

Pada peringkat 16 terbaik, esok, Pearly-Thinaah dijadual bertemu beregu tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang menundukkan pasangan Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing 19-21, 21-16, 21-19 dalam masa 1 jam 9 minit.

Mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah ke pusingan kedua adalah beregu remaja negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menewaskan Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine dari Indonesia 10-21, 21-14, 21-17 dalam masa 54 minit.

Xin Yee-Carmen bakal berdepan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di peringkat tersebut.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut mara ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan pasangan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Sapsiree Taerattanachai 21-12, 21-16 dalam masa 31 minit.

Esok, pasangan No. 5 dunia itu bakal berdepan beregu tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah yang menumpaskan Lu Ming Che-Hung En Tzu dari Taiwan 14-21, 25-23, 21-16 dalam masa 1 jam 5 minit.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu lelaki, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang tumpas mudah kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-13, 21-9 hanya dalam masa 29 minit. – UTUSAN