PETALING JAYA: Cadangan untuk mengecilkan Kabinet sukar dilaksanakan kerana ia memerlukan penyusunan semula barisan kepimpinan yang melibatkan 18 entiti politik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hasan berkata, usaha untuk mengecilkan saiz Kabinet bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan rundingan rumit dan pengagihan jawatan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.
Kata beliau, setiap parti telah diberikan peranan dan jawatan penting yang menjadikan sebarang penyusunan semula sebagai cabaran besar daripada segi politik dan persefahaman gabungan.
Tambah beliau, Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil tanggungjawab kerana beberapa portfolio utama seperti Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Ekonomi dipegang oleh mereka.
“Tiada masalah untuk menghapuskan portfolio tersebut kerana parti-parti lain juga tidak keberatan. Namun, dalam hal Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, UMNO mahukan portfolio tersebut.
“Oleh itu, usaha mengecilkan saiz Kabinet mahupun melakukan rombakan bukanlah sesuatu yang mudah kerana kedua-duanya melibatkan rundingan kompleks serta pengagihan jawatan yang memerlukan persetujuan dan kerjasama daripada semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, rombakan tidak perlu dilakukan susulan peletakan jawatan dua menteri, sebaliknya ini adalah peluang untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecilkan saiz Kabinet sekarang.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana saiz Kabinet pada masa ini agak besar.
Katanya, peletakan jawatan yang berlaku adalah satu peluang untuk Perdana Menteri mengecilkan saiz Kabinet, kerana sekarang ini hampir menyamai bilangan menteri di zaman Perikatan Nasional (PN).
Tambahnya lagi, tidak timbul kekosongan kerana Perdana Menteri boleh meletakkan portfolio itu di bawah kementerian lain dan boleh memansuhkan kementerian itu dan memasukkan portfolio di bawah kementerian lain.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, Kerajaan Perpaduan yang melibatkan beberapa anggota parti gabungan dalam satu gabungan besar kini mempunyai 31 menteri dan 27 timbalan menteri.
Kata beliau, sukar untuk mengecilkan saiz Kabinet walaupun ia merupakan satu cadangan yang baik.
“Barang kali apa yang boleh dilakukan adalah melakukan pelantikan mengikut amalan tradisi dalam hierarki kepimpinan parti dan turut boleh ditambah baik dengan pelantikan teknokrat dan ahli akademik,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri tidak bercadang untuk melakukan sebarang rombakan Kabinet buat masa ini susulan peletakan jawatan dua menterinya iaitu Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad. – UTUSAN