PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Azizan Abd Aziz sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pengalaman luas dan kepakaran kewangan Azizan akan memainkan peranan penting dalam terus mengukuhkan kecekapan operasi dan usaha strategik Bursa Malaysia.
“Azizan akan bekerjasama dengan pasukan kepimpinan dalam menangani landskap pasaran yang semakin dinamik.
“Beliau membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat.
“Sebagai CFO, beliau akan menyelia keseluruhan fungsi kewangan Bursa Malaysia termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta belanjawan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad.
Antara jawatan kanan lain yang pernah dipegangnya ialah Rakan Kongsi Penggabungan dan Pemerolehan di Deloitte Southeast Asia Ltd. serta Bahagian Perkhidmatan Kewangan KPMG di United Kingdom (UK) dan Malaysia.
Beliau memiliki ijazah Perakaunan dan Kewangan dari University of Plymouth, UK dan merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta felo Persatuan Akauntan Bertauliah Bersepadu (ACCA).
Bursa Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Rosidah Baharom, bekas CFO yang telah berkhidmat selama 27 tahun di bursa saham itu. – UTUSAN