Bank Muamalat lancar ATLAS, bank digital Islam pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan ATLAS yang dikenali sebagai bank digital Islam sepenuhnya pertama di Malaysia berteraskan nilai keimanan dan gaya hidup muslim moden.

Platform ini direka khas untuk menawarkan pengalaman perbankan patuh syariah yang lancar, menggabungkan inovasi kewangan dengan ciri gaya hidup yang disesuaikan untuk generasi celik teknologi dan berteraskan nilai-nilai keagamaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pelancaran itu merupakan langkah penting dalam usaha mentakrifkan semula perbankan Islam dan meletakkan Bank Muamalat sebagai peneraju dalam perbankan digital negara.

Katanya, platform itu direka dari awal untuk memenuhi jangkaan pengguna yang semakin berkembang, dengan menyatukan kemudahan digital dan pengayaan spiritual, sekali gus menawarkan ekosistem kewangan menyeluruh untuk muslim moden.

“Berbeza daripada tawaran perbankan digital arus perdana, ATLAS menyampaikan pengalaman unik yang berteraskan prinsip Islam dan nilai keimanan.

“Selain urusan kewangan, platform ini turut menawarkan ciri seperti Waktu Solat, Doa Harian, Kalendar Islam, Kaunter Zikir, Penentu Kiblat, serta perkhidmatan Zakat dan Qurban bagi menyokong gaya hidup berteraskan nilai dan keimanan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, ATLAS dibangunkan dengan kerjasama peneraju teknologi global termasuk Mambu, Google Cloud, Backbase, HyperQB dan Kestrl.

“Bank Muamalat membina ATLAS untuk menyampaikan pengalaman perbankan digital yang selamat, boleh diskala dan berpusatkan pengguna.

“Kerjasama ini memastikan platform memenuhi piawaian kelas dunia dari segi prestasi, privasi data dan penglibatan pengguna.

“Dengan pendekatan digital sepenuhnya, pengguna ATLAS boleh mengaktifkan akaun dan mula bertransaksi dalam beberapa minit sahaja melalui proses pendaftaran segera (instant onboarding).

“Pengalaman ini akan diperkemaskan lagi dengan pelancaran Kad Debit-i Maya ATLAS x Mastercard, yang menawarkan akses segera kepada pembayaran digital yang selamat dan patuh syariah,” katanya.

Aplikasi ATLAS kini tersedia di App Store, manakala pelancarannya di Google Play Store akan menyusul tidak lama lagi. – UTUSAN