PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan tidak boleh memandang rendah berhubung gerakan baharu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dalam usaha menggabungkan sokongan orang Melayu.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, sekiranya Sekretariat Orang Melayu (SOM) berjaya dilaksanakan, maka ia bermaksud terdapat ahli UMNO menyokong pembentukan itu.
“Dan jika ramai ahli UMNO menyokong SOM ini, maka akan jatuhlah Kerajaan Madani yang disokong oleh UMNO pada ketika ini. Ini yang dikatakan modus operandi Dr. Mahathir dan juga niat sebenar beliau dalam hal ini.
“Jadi, Kerajaan Madani dan UMNO tidak boleh memandang enteng. Ini sudah dua tiga kali dilaksanakan oleh Dr. Mahathir dan sememangnya asas perjuangan beliau adalah ideologi politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 4 Jun lalu, satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu (SOM) dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Dr. Mahathir berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
Mengulas lanjut, Azmi Hassan berkata, untuk mencapai ideologi politik itu, Dr. Mahathir menggunakan bangsa Melayu sebagai asas perjuangan.
“Sebab itu Dr. Mahathir mengatakan bahawa kalau beliau menjadi Perdana Menteri, isu 3R (raja, agama dan kaum) bukan lagi menjadi isu yang sensitif. Dan ini beliau menggunakannya,” katanya.
Felo Penyelidik Bersekutu Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, pelaksanaan gerakan itu berpotensi menghasilkan dua kesan berbeza.
“Secara positif, ia mungkin dapat menyatukan undi Melayu yang terpecah antara parti-parti politik berbeza.
“Namun, risiko perpecahan lebih tinggi kerana SOM boleh mewujudkan persaingan tambahan dengan parti-parti sedia ada seperti UMNO, Bersatu, dan Pas yang sudah mempunyai pangkalan sokongan Melayu yang mantap,” katanya.