Holgado sertai Harimau Malaya esok?

Sukan

PETALING JAYA: Jentera serangan Harimau Malaya dijangka lebih tajam dengan kehadiran pemain warisan baharu, Rodrigo Holgado yang dilaporkan akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula esok.

Perkara itu dikongsikan oleh wartawan terkenal Colombia, Pipe Sierra dalam satu hantaran di laman sosialnya, selain turut mendedahkan segala dokumentasi berkenaan dan tiket penerbangan sudah dihantar kepada Holgado.

Perkembangan itu bakal menyaksikan Holgado dapat diturunkan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Malaysia telah pun menghantar semua dokumentasi dan tiket kepada Holgado untuk berlepas esok (hari ini) bagi menyertai skuad kebangsaan. Penyerang América de Cali itu dijangka tiba pada hari Selasa di kem latihan pasukan kebangsaan,” kongsi Pipe Sierra.

Sebelum ini Peter Cklamovski memberitahu bahawa terdapat beberapa pemain seperti Dion Cools, Hector Hevel dan tonggak kacukan baharu yang akan melapor diri di kem latihan skuad Harimau Malaya dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, kehadiran pemain terbabit sekali gus akan membantu barisan kejurulatihan membentuk skuad lebih mantap demi meraih keputusan positif pada pertemuan tertutup kedua menentang Cape Verde Selasa ini dan Vietnam tujuh hari kemudian.

“Kami bukan lagi sekadar pasukan biasa. Kini, Harimau Malaya tampil dengan barisan lebih mantap, bergandingan muka-muka baru yang sudah membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan pemain muda yang cemerlang ketika menentang Cape Verde memberi suntikan tenaga baharu kepada skuad, menjadikan Harimau Malaya lebih dinamik dan sukar dibaca.

“Kekuatan utama kami adalah kombinasi pengalaman dan semangat muda yang membara. Ini akan menjadi senjata rahsia kami untuk menewaskan Vietnam,” katanya.

Menurut Cklamovski , setiap pemain kini difokuskan untuk memperbaiki kelemahan dan mengasah keupayaan agar pasukan mampu bermain dengan corak menyerang yang agresif dan konsisten.

Jurulatih itu juga menyatakan bahawa persaingan dalam skuad kini lebih sengit dengan kemasukan muka baru yang berpotensi tinggi, sekali gus menguatkan saingan dalaman untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama.

“Kami mahu pemain rasa cabaran sebenar dan ini akan mengangkat prestasi pasukan ke tahap lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN