Dunia sudah mahu Gaza berhenti ‘berdarah’

Politik

PUTRAJAYA: Beberapa negara sudah tidak lagi mahu berdiam diri apabila melihat Gaza terus dibedil Israel, sebaliknya mengambil pendirian untuk membantu Palestin mencapai kemerdekaan mereka.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beberapa pemimpin dunia sudah menghubunginya dan menyatakan pendirian tersebut.

Anwar berkata, antara pemimpin dunia yang melahirkan hasrat itu adalah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Masoud Pezeshkia dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Kita melahirkan sikap yang agak jelas mengenai Gaza (iaitu supaya Israel) menghentikan keganasan dan menolak segala usaha (untuk) menghalang bantuan kemanusiaan.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya sikap ganas dan keras Israel, kita juga sudah sepakat untuk terus (melakukan) rundingan (bagi) mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera yang mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Terdahulu, Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir ke Masjid Putra, di sini bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah.

Perkembangan terbaharu mengenai usaha menyelamatkan Palestin, Amerika Syarikat (AS) yang juga merupakan sekutu terbesar Israel dan pembekal senjata kepada negara haram itu dilaporkan menggunakan kuasa veto mereka terhadap terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). 

Draf tersebut menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dilaksanakan antara Israel dan pejuang Hamas serta akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke seluruh Gaza.

Kesemua 14 negara lain dalam majlis tersebut mengundi menyokong draf itu ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing di wilayah yang dihuni lebih dua juta orang, yang bergelut dengan kebuluran.

Malah, pengundian Majlis Keselamatan itu berlangsung ketika Israel meneruskan serangan ketenteraan di Gaza, selepas menamatkan gencatan senjata selama dua bulan pada Mac lalu.

Mengulas mengenai tindakan AS itu, Anwar berkata, Malaysia sudah menyatakan pandangannya mengenai perkara tersebut.

“Ini bukan upaya satu negara (perlu) seperti yang kita lakukan (iaitu) ada kesepakatan dari ASEAN (tetapi masih) memerlukan beberapa negara lain.

“Ini supaya (kita dapat) berikan penjelasan dan tekanan yang keras kepada dunia supaya menghentikan (keganasan terhadap Gaza, bukan) sekadar kenyataan mereka mengecam (tetapi) kemudian masih menghantar, menjual senjata kepada Israel.

“Itu hanya satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan. Kita sekadar mengutuk keras dan mencari jalan (untuk) bantu, carilah dari sisi diplomatik bagaimanapun boleh bantu perjuangan rakyat Palestin” jelasnya.-UTUSAN