Malaysia julung kali anjur perlumbaan FIM Supercross 2025

Sukan

PETALING JAYA: Malaysia buat julung kali bakal menjadi tuan rumah Kejuaraan Dunia FIM Supercross 2025 dengan ibu negara, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pilihan untuk perlumbaan pembukaan musim.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di media sosial rasmi, fimwsx, semalam, Stadium Merdeka akan menjadi gelanggang utama perlumbaan di negara ini yang dijadual berlangsung pada 18 Oktober.

Menurut kenyataan itu lagi, World Supercross yang pertama kali diadakan di Malaysia akan menjadi satu-satunya perlumbaan di benua Asia, selain empat bandaraya lain dari setiap benua.

Dengan gabungan dinamik bandar ikonik dan destinasi baharu, musim 2025 mengesahkan semula misi World Supercross untuk membawa supercross bertaraf dunia kepada peminat di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd, Shamil Yusof dalam kenyataannya melahirkan rasa teruja dan mengalu-alukan Kejuaraan Dunia FIM Supercross dianjurkan di Kuala Lumpur.

“Ini adalah bukti kepada peningkatan status Malaysia dalam sukan global dan kami berharap dapat memberikan pengalaman yang mendebarkan kepada peminat dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.

“Ini juga merupakan tempoh yang amat mengujakan bagi pencinta sukan permotoran di Malaysia dan Asia Tenggara dengan Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 akan menyusul seminggu kemudian.

“Ia merupakan satu penganjuran sukan bermotor ‘double-header’ yang hebat untuk rantau ini,” kata Shamil yang merupakan individu bertanggungjawab membawa masuk perlumbaan itu ke Malaysia.

Selepas perlumbaan pembukaan musim di Malaysia, tumpuan peminat-peminat SuperCross kemudian akan beralih ke Buenos Aires, Argentina (8 November); Vancouver, Kanada (15 November); Gold Coast, Australia (29 November) dan perlumbaan penutup di Cape Town, Afrika Selatan (13 Disember).

Shamil berkata, kejayaan membawa perlumbaan itu ke ibu negara merupakan satu detik penting bagi sukan bermotor di Malaysia apabila muncul satu-satunya wakil Asia bergelar tuan rumah menganjurkan kejohanan berprestij itu.

Para peminat sukan permototan di negara ini berpeluang menyaksikan pelumba-pelumba handalan dunia seperti Eli Tomac (450cc), Shane McElrath (250cc) dan pasukan Fire Power Honda yang
memenangi kejuaraan bagi musim 2024 bersaing di Dataran Merdeka.- UTUSAN