PETALING JAYA: Harimau Malaya memiliki ‘senjata’ mencukupi untuk mengecewakan Vietnam pada pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Kenyataan itu disuarakan tonggak kacukan Belanda-Malaysia, Hector Hevel yang berkata, dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menghadiahkan kemenangan kepada peminat Malaysia dalam perlawanan tersebut.
Katanya, kehadiran pemain-pemain warisan baharu juga menambah kekuatan skuad kebangsaan untuk berdepan skuad kendalian Kim Sang Sik.
“Kami mempunyai senjata kami juga dan kami sudah menganalisis, apa yang boleh kami lakukan untuk memenangi perlawanan. Jadi saya rasa kami akan tampil lebih bersedia Selasa ini. Kami akan melakukan sehabis baik untuk capai kemenangan.
“Pasukan kita juga sudah berubah dengan kehadiran pemain warisan baharu. Ia bakal menambah baik kekuatan pasukan, jadi saya fikir semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan untuk memenangi aksi itu,” katanya.
Pemain itu akan terus kekal di Malaysia selepas meninggalkan kelab Portugal, Portimonense SC dan menyertai Johor Darul Ta’zim musim depan.
Mengulas lanjut tentang perhatian peminat terhadap dirinya terutama selepas meledak satu gol ketika aksi dengan Nepal sebelum ini, Hevel yang memiliki susur galur sebelah datuknya dari Melaka akui tidak pernah rasa tertekan.
“Tidak, saya tidak merasakan tekanan. Jelas sekali apabila anda menjaringkan gol dalam perlawanan pertama, sudah tentu perhatian akan diberikan kepada saya.
“Namun itu tidak bermakna saya akan sentiasa menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, tapi saya akan cuba berikan aksi terbaik di bahagian tengah untuk membantu pasukan.
“Mungkin bukan untuk menjaringkan gol, tapi saya juga boleh membuka peluang dan mencipta gerakan buat rakan sepasukan lain. Banyak cara untuk saya membantu pasukan mencapai sasaran,” katanya. – UTUSAN