Pelabur asing jual ekuiti RM387.4 juta minggu lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut apabila mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM387.4 juta, minggu lalu.

MIDF Research berkata, jumlah itu namun adalah lebih rendah berbanding RM1.02 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari dengan aliran keluar antara RM5.4 juta sehingga RM162.83 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada hari Rabu, diikuti Selasa sebanyak RM121.8 juta.

Katanya, tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi ialah telekomunikasi dan media (RM16.4 juta), teknologi (RM16.2 juta) serta hartanah (RM8.0 juta).

“Tiga sektor mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM193.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM130.9 juta) serta perladangan (RM40.4 juta),” katanya dalam satu nota kajian.

MIDF Research berkata, institusi tempatan meneruskan pembelian mereka untuk tiga minggu berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM444.6 juta.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan pula tidak mengekalkan trend pembelian mereka selama dua minggu, dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM57.3 juta.

Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan kemerosotan secara menyeluruh sepanjang minggu lalu.

Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan mencatatkan penyusutan masing-masing sebanyak 8.1 peratus dan 15.8 peratus, manakala pelabur asing mencatatkan kejatuhan sebanyak 29.1 peratus. – UTUSAN