‘Belum ada pemimpin pas mampu ganti Abdul Hadi’

Politik

HULU TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat secara peribadi melihat belum ada kepemimpinan Pas yang mampu menggantikan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, Abdul Hadi dilihat masih sangat diperlukan bagi menerajui pucuk pimpinan Pas ketika ini.

“Saya sebenarnya tidak berhasrat mana hendak mengulas pun, sebab ini parti orang, bukan parti kita (UMNO).  Setakat ini saya rasa kepemimpinan Pas, tidak nampak siapa yang boleh menggantikan beliau dan ini pendapat peribadi saya, bukan parti. 

“Kepemimpinan beliau hari ini payah lagi orang lain hendak tandingi dan bagi saya dia masih diperlukan. Biasalah dalam politik ada orang yang nak, begitu juga sebaliknya,” katanya ketika diminta mengulas desas-desus Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan berundur.

Beliau ditemui pemberita sewaktu Program Korban Perdana UMNO Bahagian Hulu Terengganu  di Ajil, di sini hari ini.

Kata Rozi, beliau juga sudah agak lama tidak berjumpa Abdul Hadi dan tidak mengetahui tahap kesihatan sebenar Ahli Parlimen Marang itu.

Terdahulu, Abdul Hadi seakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas dan hasrat itu dikatakan disampaikan kepada barisan kepemimpinan tertinggi dalam satu retreat parti  diadakan di Hotel Primula, Terengganu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMNO Terengganu menggerakkan 20 buah van jenazah daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu menguruskan jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak.

“Kita telah hantar ambulans dan van jenazah NGO  khususnya daripada Besut termasuk set  kelengkapan jenazah serta pasukan khidmat pengurusan jenazah.

“Tidak mengapa sekiranya semua itu telah ada di sana, paling penting urusan jenazah dapat diselesaikan segera secepat mungkin sebaik sahaja pengurusan hospital atau pihak berkaitan membenarkan jenazah boleh dibawa pulang,” katanya. – UTUSAN