MUNICH: Cristiano Ronaldo mengakui memenangi trofi bersama Portugal sangat bermakna buat dirinya berbanding deretan kejayaan yang diraih di peringkat kelab.
Kapten Portugal itu mengalirkan air mata gembira selepas menjadi pencetus kepada kejayaan Portugal untuk meraih gelaran kedua Liga Negara-Negara Eropah, semalam.
Gol antarabangsa ke-138 Ronaldo di babak kedua membawa aksi final itu ke penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Sepanyol, dan pemain 40 tahun itu yang dikeluarkan akibat kecederaan melihat dari tepi padang ketika Portugal menyempurnakan kesemua sepakan penalti.
Kejayaan itu, yang membuatkan pemenang lima kali Liga Juara-Juara Eropah berkenaan mengalirkan air mata, adalah yang ketiga buat Ronaldo di peringkat antarabangsa selepas Kejuaraan Eropah 2016 dan Liga Negara-Negara 2019.
“Sangat gembira. Pertama sekali untuk generasi ini, yang berhak dengan gelaran ini, untuk keluarga kami. Anak-anak saya ada di sini, isteri saya, abang saya dan kawan-kawan.
“Menang untuk Portugal sentiasa istimewa. Saya mempunyai banyak gelaran bersama kelab, tetapi tidak ada yang lebih baik berbanding menang untuk Portugal. Ia air mata. Tugas disempurnakan dan penuh kegembiraan.
“Apabila bercakap tentang Portugal ia adalah perasaan yang istimewa. Menjadi kapten generasi ini adalah satu penghargaan. Memenangi gelaran adalah kemuncak dalam pasukan kebangsaan,” kata Ronaldo.
Masa depan Ronaldo masih menjadi tanda tanya. Minggu lalu dia berkata yang dia tidak bercadang untuk beraksi di Piala Dunia Kelab, yang bermula bulan ini di Amerika Syarikat (AS).
Penyerang Al-Nassr itu berkata, beberapa kelab membuat tawaran untuk dia beraksi, tetapi kelab Arab Saudi itu mendedahkan yang mereka sedang berunding untuk melanjutkan kontrak Ronaldo.- AGENSI