PETALING JAYA: Pelumba negara, Hakim Danish Ramli akan diberikan jentera setaraf dengan pelumba-pelumba di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, jika terpilih sebagai pelumba ‘wild card’ pada Grand Prix Malaysia, hujung tahun ini.
Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, beliau sendiri telahpun berbincang dengan pasukan yang bakal dinaungi Hakim Danish sekiranya program ‘wild card’ mendapat kelulusan daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Untuk teknikal, saya sendiri telah berbincang dengan pasukan, dengan motosikal apa yang kita hendak pakai, spek (spesifikasi) motosikal apa yang kita hendak pakai.
“Semuanya diatur dengan baik dan kita akan bagi material ataupun motosikal yang terbaik sama taraf seperti pelumba-pelumba kejuaraan dunia yang lain.
“Urusan teknikal saya percaya 100 peratus, ia adalah pakej yang sangat kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan menerusi kiriman video daripada SIC Racing di sini, semalam.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu berkata, cuma sekarang, pihaknya perlu menunggu keputusan daripada pihak SIC untuk memberi kata putus.
Katanya lagi, beliau yakin peluang Hakim Danish untuk bersaing menerusi tiket ‘wild card’ cerah dan pelumba berusia 17 tahun itu cuma perlu kekal konsisten di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies dan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP.
“Program ‘wildcard’ ini hujung Oktober, dia perlu tamatkan Piala RedBull MotoGP Rookies dengan baik dan selepas itu barulah kita fikir pasal program ‘wildcard’.
“Sejujurnya saya sudah berusaha sejak awal tahun lagi untuk program ‘wildcard’, cuma kita kena tunggu keputusan rasmi daripada SIC untuk meneruskan program ini bersama dengan komitmen dana yang diperlukan,” katanya.
Mengulas pula mengenai perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies akan datang, Zulfahmi berkata, Hakim Danish akan bersaing di Litar Mugello, Itali pada 21 dan 22 Jun ini yang merupakan saingan pusingan keempat.
“Saingan di Mugello sangat mencabar kerana rekaan trek itu sendiri menjadikan pusingan keempat itu satu perlumbaan yang sukar,” katanya.-UTUSAN