PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya tidak boleh dibuai dengan kejayaan biarpun berjaya membelasah Vietnam 4-0 aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, Selasa lalu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, skuad negara tidak boleh leka kerana pencapaian itu bukan jaminan untuk terus berada di zon selesa.
“Kita boleh berpuas hati dengan pencapaian ini kerana persediaan pun tidak lama, tetapi ini hanyalah langkah awal dalam satu perjalanan yang panjang.
“Pihak lawan akan mula mengkaji kekuatan dan kelemahan kita sebagai persiapan untuk perlawanan akan datang, jadi kita kena terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zulakbal, budaya menang tidak boleh menjadi alasan untuk berasa selesa kerana dalam bola sepak, kealpaan walau sedikit mampu mengundang padah.
“Sebagai manusia, kita mudah leka. Bila menang, kita terlupa kelemahan lawan dan hanya fokus pada kelebihan sendiri.
“Tapi, jangan lupa, Vietnam, Indonesia, Thailand dan negara lain pasti akan bangkit mencari cara untuk kalahkan kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik penggunaan pemain warisan dalam skuad kebangsaan dan mencadangkan jumlah pemain tersebut ditambah untuk memperkukuh saingan dalaman dalam pasukan.
“Saya sokong jika lebih ramai pemain warisan diketengahkan, terutama jika kita nak pastikan ada persaingan sihat. Bila ada persaingan, kalau tak menyerlah, kita ada pengganti yang sedia masuk,” jelasnya.
Beliau yang juga pemegang professional Diploma Kejurulatihan AFC mengingatkan agar Harimau Malaya terus fokus dan memperbaiki kelemahan sedia ada bagi menghadapi cabaran seterusnya dalam Kumpulan F, termasuk sasaran lebih besar menjelang Piala Asia 2027.
“Jangan cepat puas hati. Ini baru permulaan, dan kita perlu bersedia dari sekarang kerana negara lain juga tidak duduk diam,” katanya.-UTUSAN