PETALING JAYA: Sektor telekomunikasi tempatan mencatatkan prestasi sederhana pada suku pertama 2025, dipengaruhi tekanan terhadap hasil purata pengguna (ARPU) dan persaingan sengit dalam segmen mudah alih serta jalur lebar gentian (FBB), menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil industri secara keseluruhan menyusut empat peratus tahun ke tahun disebabkan kemerosotan dalam perkhidmatan mudah alih dan talian tetap.
“Pendapatan utama sektor turun empat peratus tahun ke tahun didorong oleh kejatuhan pendapatan perkhidmatan mudah alih (-4.7 peratus) dan tetap (-2.4 peratus),” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, Time Dotcom muncul sebagai satu-satunya syarikat yang mencatatkan pertumbuhan positif hasil, dengan peningkatan 17 peratus setakat tahun ini, disokong peluasan liputan gentian kepada 1.9 juta premis.
Sebaliknya, Axiata mencatatkan prestasi paling lemah dengan penurunan 18 peratus, sebahagian besarnya disebabkan pendedahan tinggi kepada pasaran luar negara yang lebih mencabar.
RHB Research menyifatkan prestasi suku pertama sektor sebagai sederhana, tetapi margin keuntungan kekal stabil hasil kawalan kos yang berkesan oleh pemain industri.
“ARPU FBB untuk TM, Maxis dan CelcomDigi susut antara 4 hingga 10 peratus secara suku tahunan berikutan diskaun harga dan promosi langganan,” kata firma itu.
Dalam segmen mudah alih, dua syarikat utama menyaksikan penurunan hasil sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun atau 2.4 peratus suku ke suku, menunjukkan tekanan persaingan yang berterusan.
“Sejajar dengan jangkaan sebelum ini, pertumbuhan pelanggan runcit FBB menunjukkan tanda-tanda ketepuan pasaran apabila kadar penambahannya mula menyusut.
“Bagi prospek separuh kedua tahun ini, RHB menjangkakan pasaran akan kekal berhati-hati, antara lain disebabkan oleh kos borong 5G yang lebih tinggi serta kemungkinan pelarasan dasar kerajaan terhadap kerangka 5G sedia ada.
“Tambahan kos RM320 juta akan ditanggung oleh CelcomDigi, Maxis dan YES bagi pengambilalihan pinjaman pemegang saham dan ekuiti Digital Nasional Berhad (DNB) menjelang akhir 2025,” katanya.
RHB turut menyemak semula unjuran pendapatan teras tahun kewangan 2025 hingga tahun kewangan 27 bagi Axiata dan OCK Group, termasuk pelarasan berikutan pengiktirafan semula XL Axiata sebagai syarikat bersekutu.
Dari sudut pasaran serantau, saham telekomunikasi Malaysia mencatat prestasi lebih baik berbanding Indonesia (-5 peratus) namun masih ketinggalan berbanding Singapura (+10 peratus) dan Thailand (6 peratus) yang menawarkan hasil dividen lebih menarik.
“Telekom Malaysia, CelcomDigi dan Axiata tersenarai sebagai pilihan utama dalam sektor ini bagi pelabur dalam tempoh mendatang.
“Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk tekanan persaingan, hasil yang lebih rendah daripada jangkaan, dan ketidaktentuan dasar kawal selia yang boleh menjejaskan pemulihan jangka sederhana,” katanya.-UTUSAN