Shahidan nafi ugut Irfan

Sukan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang ugutan terhadap jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, sebaliknya menyifatkan atlet itu sebagai antara kesayangannya.

Presiden  Olahraga Malaysia (MA) itu mendakwa wujud anasir luar yang cuba menimbulkan salah faham antara mereka berdua menjelang pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu hujung minggu ini.

“Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa tuduhan itu tidak benar. Irfan adalah antara atlet yang saya hargai dan sentiasa saya bantu,” katanya  dalam satu sidang media khas di Wisma MOM, hari ini.

Shahidan turut menganggap pendedahan mengejutkan itu mungkin berpunca daripada percaturan politik sukan, sambil menyatakan beliau enggan menarik atlet ke dalam kemelut kepimpinan yang sedang bergolak.

Beliau menjelaskan pertemuan terbaharu bersama Irfan dibuat dalam suasana baik dan bertujuan menyampaikan sumbangan peribadi atas kejayaan atlet itu meraih pingat dalam kejohanan antarabangsa di Korea Selatan.

“Saya datang untuk beri hadiah atas kejayaan dia. Sebagai pemimpin sukan yang anggap atlet seperti anak sendiri, saya tidak pernah terlintas untuk menekan atau mengugut,” tegasnya.

Awal tengah hari tadi, Irfan secara terbuka menamakan Shahidan sebagai individu yang menyebabkan tekanan mental terhadap dirinya, selain mendakwa wujud campur tangan dalam hal ehwal latihan dan keputusan peribadinya.

Insiden itu menghangatkan lagi suasana menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA ke-22 yang bakal menyaksikan saingan empat penjuru bagi jawatan Presiden sesi 2025 hingga 2029 pada Sabtu ini.

Shahidan dijangka dicabar oleh Datuk Karim Ibrahim (bekas Presiden MA), Datuk Mark William Ling Lee Meng (Presiden Persatuan Olahraga Perak), serta Datuk Wan Hisham Wan Salleh (Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu). UTUSAN