PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) diramal kekal sekitar paras RM4,000 satu tan tahun ini, disokong oleh paras stok dan pengeluaran yang meningkat., menurut penganalisis.
Laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi bulan Mei menunjukkan stok MSM negara meningkat 6.6 peratus kepada 1.99 juta tan berbanding April dan 13.5 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengeluaran bagi tempoh sama turut melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, iaitu sebanyak 1.77 juta tan, menandakan pemulihan berterusan dalam sektor perladangan negara.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, paras stok MSM dijangka kekal sekitar dua juta tan pada bulan ini berikutan hasil tuaian yang secara bermusim meningkat dan permintaan perayaan yang sederhana.
“Namun, permintaan dijangka disokong oleh peningkatan import dari India selepas negara itu mengurangkan duti import MSM kepada 10 peratus daripada 20 peratus sebelum ini.
“HLIB mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,000 satu tan bagi tahun ini dan RM3,800 satu tan bagi tahun hadapan, sambil menjangka harga kekal tertekan dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana disebabkan pemulihan pengeluaran, khususnya dari Indonesia.
“HLIB mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dan menyenaraikan SD Guthrie Bhd. (TP: RM5.17) serta IOI Corp Bhd. (TP: RM4.24) sebagai pilihan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, RHB Research pula kekal positif terhadap sektor tersebut dengan saranan ‘overweight’, berdasarkan prospek pendapatan yang terus meningkat disebabkan harga MSM dan isirung sawit yang lebih tinggi.
“11 syarikat di bawah liputan RHB Research mencatatkan keputusan kewangan suku pertama yang selari dengan jangkaan, manakala tiga syarikat menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.
“Antara kaunter pilihan utama RHB Research termasuk Johor Plantations, Sarawak Oil Palms Bhd., Bumitama Agri Ltd., PP London Sumatra Indonesia dan SD Guthrie Bhd,” katanya.
MIDF Research menjangkakan harga MSM kekal stabil antara RM3,900 hingga RM4,200 satu tan, sejajar dengan trend pengeluaran bermusim dan jangkaan pemulihan selepas tempoh pendebungaan yang berakhir pada bulan Mac.
“Pengeluaran minyak sawit dijangka terus meningkat, dan stok penutup berkemungkinan akan bertambah selaras dengan peningkatan hasil,” katanya.
MIDF turut menjangkakan pendapatan sektor perladangan akan terus berkembang dalam separuh pertama tahun ini disebabkan purata harga MSM yang lebih tinggi, namun memberi amaran bahawa margin keuntungan masih tertekan akibat kos pengeluaran yang tinggi termasuk baja dan pembelian tandan buah segar (BTS).- UTUSAN