Atlet negara ungguli triatlon elit Asia Tenggara di Festival Multisport Perak

Sukan

LUMUT: Dua triatlet utama negara, Martyn Lim dan Esther Joy Chen, menjuarai saingan elit Sprint Kejohanan Persekutuan Triatlon Asia Tenggara (SEA), yang diadakan sempena Festival Multisukan Perak di Marina Island Pangkor Resort and Hotel, hari ini.

Martyn, yang menamatkan perlumbaan tahun lalu di tempat kelima, menebus kekecewaan dengan catatan masa 1 jam 3 minit 57 saat (1:03:57) untuk mengungguli perlumbaan lelaki.

Beliau menumpaskan rakan senegara dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, Rikigoro Shinozuka (1:05:25), manakala Russel Lee (1:06:10) dari Singapura menduduki tempat ketiga.

Acara tersebut menggabungkan disiplin renangam sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan larian lima km.

Festival dua hari berakhir hari ini anjuran XS Elite Performance untuk edisi keenam tahun ini, berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari lebih 20 negara.

Dalam saingan elit wanita, Esther menamatkan perlumbaan dengan masa 1:10:25, jauh meninggalkan dua wakil Singapura, Lim Wan Ting (1:12:48) dan Regine Goh (1:15:07).

Ia merupakan peningkatan kepada Esther yang mendapat tempat kedua tahun lalu.

Dengan kejohanan ini menjadi medan pemilihan terakhir ke Sukan Sea, Martyn berharap kemenangan hari ini cukup untuknya menempah tiket ke Thailand pada Disember nanti.

“Termasuk pertandingan hari ini, kita telah menjalani empat perlumbaan kelayakan setakat ini.

“Ini merupakan yang terakhir, dan kita akan tunggu keputusan rasminya nanti. Saya dah beri segalanya hari ini dan berharap ia memadai (untuk ke Sukan Sea),” katanya.

Esther juga berharap dapat meraih kelayakan untuk mewakili negara pada Sukan Sea walaupun fokus asalnya adalah duathlon yang merupakan acara kegemaran, tapi tiada acara individu itu tahun ini.

Beliau melakukan penampilan sulung di Sukan Sea Hanoi pada 2022 walaupun selepas hanya enam bulan aktif dalam sukan triatlon. – UTUSAN