Russell juara GP Kanada

Sukan

MONTREAL: George Russell menghadiahkan kemenangan pertama musim ini buat Mercedes selepas menjuarai Grand Prix (GP) Kanada yang penuh debaran, awal pagi tadi.

Pelumba Britain itu menamatkan saingan 70 pusingan dengan kelebihan 0.228 saat (s) mengatasi juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull.

Kejayaan itu juga menyaksikan rakan sepasukannya, Kimi Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk naik podium buat kali pertama.

“Saya sangat gembira kerana dapat kembali menang selepas kecewa di sini tahun lalu.

“Saya juga bangga melihat Kimi berada di podium, dia menunjukkan potensi luar biasa,” kata Russell.

Insiden paling mencuri tumpuan hadir di penghujung perlumbaan apabila pelumba Mclaren, Lando Norris merempuh belakang rakan sepasukannya, Oscar Piastri.

“Maaf, itu semua salah saya, sangat bodoh dan saya kecewa,” ujar Norris.

Piastri yang masih sempat menamatkan perlumbaan di tempat keempat kini mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan 22 mata. – AGENSI