MONTE CARLON: Bintang tenis nombor lima dunia, Novak Djokovic mengakui kecewa dengan prestasi teruk selepas tersingkir awal di Monte Carlo Masters, manakala Carlos Alcaraz bangkit mencatat kemenangan pertama di kejohanan itu.
Novak Djokovic bergelut untuk menemui rentaknya apabila tewas 6-3, 6-4 kepada pemain Chile, Alejandro Tabilo dalam pusingan kedua Monte Carlo Masters.
Djokovic, 37, memasuki kejohanan ini dalam keadaan kurang cergas akibat jangkitan mata yang mengganggunya sejak separuh akhir Miami pada hujung Mac lalu, dan mengakui bahawa dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk Monte Carlo.
“Ia sebenarnya lebih kepada hari yang paling buruk (di tempat kerja). Saya berharap ia tidak akan berlaku, tetapi kebarangkalian untuk saya bermain sebegini memang tinggi.
“Memang teruk. Perasaan yang mengerikan bermain sebegini, dan saya minta maaf kepada semua yang terpaksa menyaksikan ini,” kata Djokovic.
Pemain Serbia itu yang sedang memburu gelaran ATP ke-100 dalam kerjayanya, belum memenangi sebarang kejohanan sejak meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris tahun lalu.
Djokovic menafikan ada isu kecergasan dan berkata fokus utamanya dalam musim gelanggang tanah liat ialah Terbuka Perancis, dia dijadual beraksi di Madrid hujung bulan ini buat kali pertama sejak 2022.
“Saya sekurang-kurangnya menjangkakan persembahan yang lebih baik daripada ini tapi ini sangat teruk. Saya memang tidak meletakkan harapan tinggi. Saya tahu lawan saya sukar dan saya mungkin akan bermain buruk. Tapi tidak sangka seteruk ini,” katanya.
Sementara itu, Carlos Alcaraz mencatat kemenangan pertamanya di Monte Carlo apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Francisco Cerundolo 3-6, 6-0, 6-1 dalam pusingan kedua.
“Saya bermula dengan buruk. Saya banyak melakukan kesilapan dan membiarkan dia menguasai permainan dari dalam gelanggang. Saya tahu saya perlu ubah sesuatu, bermain lebih agresif dan main gaya saya sendiri,” kata Alcaraz. – AFP