Presiden Pas jalani prosedur rawatan esok

Politik

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijadualkan menjalani satu prosedur rawatan esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak beliau, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi satu pesanan yang turut dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman hari ini.

Khalil yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu berkata, walaupun tidak memperincikan bentuk prosedur atau keadaan kesihatan terkini bapanya, beliau memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan serta mengadakan solat hajat untuk Ahli Parlimen Marang itu.

“Insya-Allah ayahanda Tuan Guru (Abdul Hadi) akan menjalani suatu prosedur rawatan pada esok hari, 17 Jun 2025.

“Justeru saya mewakili pihak keluarga memohon agar didoakan kesihatan dan kesembuhan buat ayahanda Tuan Guru,” katanya ringkas.

Abdul Hadi, 77, pernah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada awal tahun lalu berhubung beberapa masalah kesihatan yang memerlukan pemantauan rapi.

Sebelum ini, Muhammad Khalil memaklumkan doktor menasihatkan Pre­siden Pas itu supaya mengurangkan aktiviti-aktiviti luar termasuk memberi ceramah bagi menjaga kesihatannya yang merosot sejak kebelakangan ini.

“Status kesihatannya biasalah Tok Guru (Abdul Hadi) ini macam orang lain juga, ada masa sihat dan ada masa sakit.

“Jadi doktor nasihat supaya kurangkan aktiviti-aktiviti luaran termasuk ceramah dan mengajar.  Ada rawatan susulan yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, minggu lalu. – UTUSAN