Petronas guna AI percepat operasi huluan 

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sedang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan operasi sektor huluannya, khususnya dalam memendekkan tempoh antara penemuan sumber dan pengeluaran pertama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, AI merupakan satu cabaran dan juga penyelesaian. 

“Dalam sektor huluan, pasukan kami sedang berusaha untuk mempercepatkan masa dari penemuan sehingga ke pengeluaran pertama gas atau minyak,” katanya demikian semasa sesi Leadership Dialogue (kepimpinan Asia dalam peralihan tenaga) di Energy Asia 2025, di sini.

Menurut beliau, AI digunakan dalam pelbagai peringkat operasi termasuk kerja-kerja seismik awal dan pengimejan bawah permukaan yang kini lebih efisien hasil bantuan teknologi ini.

“AI menawarkan penyelesaian yang memendekkan proses-proses tersebut dan menghasilkan keputusan yang lebih tepat. Ia juga terbukti memberi nilai sebenar seperti mempercepatkan kempen penggerudian,” katanya. 

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas memberikan penekanan kepada kecekapan dan keberkesanan, manakala pemilik pelantar biasanya melihat jangka panjang kos dalam industri minyak dan gas.

Selain operasi teknikal, Petronas juga melihat potensi AI dalam menyesuaikan penawaran kepada kehendak pelanggan.

“AI membantu kami memahami kehendak pelanggan dan membolehkan kami menawarkan penyelesaian menyeluruh di peringkat kumpulan, bukan hanya produk atau penyelesaian individu. 

“Ini akan bantu kami menghasilkan apa yang benar-benar dikehendaki pelanggan,” ujarnya.

Beliau mengakui bahawa penggunaan AI dalam Petronas masih berada pada peringkat awal dan syarikat sedang aktif belajar serta membina kapasiti melalui kerjasama dengan rakan industri dan penyedia teknologi.

Energy Asia yang dianjurkan oleh Petronas dengan CERAWeek oleh S&P Global, bertujuan untuk memajukan aspirasi sifar bersih rantau ini melalui penyelesaian yang boleh dilaksanakan demi peralihan tenaga yang adil.

Persidangan ini akan menampilkan lebih 180 penceramah tersohor dari seluruh dunia dan menarik lebih 4,000 delegasi dari lebih 50 negara.-UTUSAN