KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Berhad (“Malakoff”), melalui anak syarikat solar komersial dan industri (“C&I”) miliknya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (“MRSB”), telah menandatangani Memorandum Kolaborasi (“MoC”) bersama New Energy Asia Sdn. Bhd. (New Energy Asia) bagi kerjasama pelaksanaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (“EV”) secara bersama.
Kerjasama ini bertujuan membangunkan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan sistem tenaga solar dan pengecasan EV untuk menyokong mobiliti tanpa karbon, selain berkongsi kepakaran teknikal dan sumber bagi pelaksanaan yang berkesan serta meneroka peluang perniagaan di seluruh rantau ASEAN.
Majlis menandatangani perjanjian telah berlangsung di Hilton Kuala Lumpur, KL Sentral antara Pengarah MRSB, Nazersham Mansor,dan Ketua Pegawai Eksekutif New Energy
Asia, Li Min,.
New Energy Asia Sdn. Bhd. merupakan usaha sama antara HICOM Engineering dan Hangzhou Flash Charge, akan meneroka kerjasama strategik bersama MRSB untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti bersih. MoC ini mengukuhkan kolaborasi yang memfokuskan kepada pengintegrasian penyelesaian pengecasan EV berteknologi tinggi dengan infrastruktur solar Malakoff.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mempercepat pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian tenaga rendah karbon yang mampan di seluruh negara.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, “Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk memperkukuh portfolio tenaga boleh baharu (“RE”) Malakoff melalui kerjasama strategik yang menghasilkan impak nyata.
“Baru-baru ini, kami telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar berskala tunggal terbesar setakat ini – berkapasiti 4.22 MWp – bersama HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd., susulan kejayaan pemasangan 2.0 MWp di fasiliti yang sama di Pekan, yang telah mengurangkan penggunaan elektrik grid sebanyak kira-kira 7.0 GWh dan mengelakkan hampir 5,489 tCO2e dalam pelepasan”.
“Kerjasama ini bersama New Energy Asia merupakan lanjutan semula jadi kepada momentum tersebut, membolehkan kami menggabungkan penyelesaian mobiliti bersih bersama infrastruktur solar kami, sekaligus memberi nilai tambah dalam ekosistem tenaga bersih”.
Malakoff giat memajukan pertumbuhan inisiatif tenaga boleh baharu sambil memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara. Menerusi teras perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat telah membangunkan portfolio tenaga boleh baharu berjumlah 173 MW.
Ini merangkumi pelbagai projek seperti solar berskala besar, pemasangan solar komersial dan industri, penjanaan hidro kecil, serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti tanpa karbon. Inisiatif ini menzahirkan komitmen teguh Malakoff terhadap aspirasi, ‘Enhancing Life, Enriching Communities’, sekali gus membuktikan dedikasi syarikat dalam membentuk masa depan tenaga yang lestari dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.malakoff.com.my. – UTUSAN