Glave tewaskan juara Olimpik

Sukan

TURKU: Pelari pecut Britain, Romell Glave mengetepikan saingan termasuk Andre de Grasse dan Marcell Jacobs untuk memenangi acara akhir 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Paavo Nurmi, Finland, semalam.

Glave memenangi perlumbaan itu selepas melakukan catatan masa 10.08 saat (s), diikuti Jerome Blake dari Kanada dan Benjamin Azamati dari Ghana yang masing-masing mencatat masa 10.09s dan 10.10s.

Pelari pecut Kanada, De Grasse yang memenangi pingat emas 200m di Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada di kedudukan keenam dengan catatan masa 10.23s.

Jacobs yang memenangi emas 100m di Olimpik Tokyo beraksi buat kali pertama sejak Sukan Olimpik Paris 2024 menamatkan perlumbaan di tempat terakhir dengan catatan masa 10.44s.

“Ia merupakan penebusan daripada Kejohanan Eropah (2024) di mana saya tewas kepada Jacobs (menang emas). Kali ini saya berjaya mengatasinya. Selepas saringan, saya rasa agak tegang tetapi saya sempat kembali memanaskan badan dan melepaskan ketegangan itu.

“Saya berjaya bersabar berbanding perlumbaan terakhir, saya hanya fokus pada 30 meter pertama,” kata Glave yang berusia 25 tahun.

Sementara itu, Morgan Lake dari Britain memenangi acara lompat tinggi wanita berdasarkan kiraan semula mengatasi Lamara Distin dari Jamaica apabila kedua-duanya berjaya melompat setinggi 1.91m.

Kristjan Ceh dari Slovenia pula mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut musim ini dalam acara lempar cakera, dengan tiga peserta teratas melepasi jarak 70m.

Juara dunia 2022 itu melontar sejauh 70.61m untuk mengalahkan pemenang gangsa Olimpik dari Australia, Matt Denny, dan juara dunia dua kali dari Sweden, Daniel Stahl. – AGENSI