Lakers bakal dijual dengan nilai RM42 bilion

Sukan

LOS ANGELES: Pasukan bola keranjang terkemuka Amerika Syarikat (AS), Los Angeles Lakers bakal dijual dalam satu perjanjian pecah rekod bernilai AS$10 bilion (RM42 bilion) sekali gus menjadi kelab sukan paling bernilai dalam sejarah negara itu.

Menurut laporan ESPN, pemilik semasa Lakers iaitu keluarga Buss akan menjual pegangan kawalan mereka dalam pasukan tersebut kepada jutawan Mark Walter yang sudah pun memiliki pegangan minoriti dalam francais itu.

Walaupun Jeanie Buss akan terus kekal sebagai gabenor Lakers, perjanjian tersebut bakal menamatkan pemerintahan keluarga Buss selama 46 tahun ke atas pasukan gergasi NBA itu.

Walter merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TWG Global yang telah membina portfolio pasukan sukan profesional mengagumkan, termasuk Los Angeles Dodgers dan Los Angeles Sparks malah dia juga antara sebahagian daripada kumpulan pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

TWG turut memiliki kejohanan tenis Piala Billie Jean King dan pasukan Formula Satu (F1), Cadillac.

Walaupun butiran lanjut mengenai perjanjian itu tidak didedahkan, lagenda Lakers, Earvin “Magic” Johnson merupakan rakan kongsi perniagaan Walter menjadi antara individu terawal yang memberi reaksi terhadap berita tersebut.

“Peminat Lakers patut teruja. Beberapa perkara yang saya boleh katakan tentang Mark, dia didorong oleh keinginan untuk menang, kecemerlangan, dan melakukan segalanya dengan cara yang betul.

“Dia akan melaburkan sumber yang diperlukan untuk menang! Saya faham mengapa Jeanie menjual pasukan ini kepada Mark Walter kerana mereka sangat serupa,” tulis Johnson di laman sosial, X. – AFP