LONDON: Barcelona telah menandatangani penjaga gol Joan Garcia dari Espanyol selepas mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 25 juta euro (RM121 juta).
Penjaga gol berusia 24 tahun itu akan menyertai pasukan baharunya secara rasmi pada hari ini dengan juara Sepanyol itu memberikannya kontrak selama enam tahun.
Arsenal dan Manchester United juga dikaitkan dengan Garcia namun dia memilih untuk kekal di Sepanyol.
Sejak membuat penampilan sulung bersama Espanyol pada 2021, dia telah membuat 67 penampilan untuk kelab tersebut.
Garcia membantu Espanyol layak beraksi di La Liga pada musim 2023-2024 dan memainkan peranan penting bagi memastikan kelab itu kekal dalam saingan tertinggi musim lalu dengan membuat jumlah penyelamatan terbanyak (146) dalam aksi liga.
Garcia masih belum mendapat kaps senior bersama pasukan kebangsaan Sepanyol tetapi pernah bermain untuk skuad muda dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Barcelona sedang mencari rakan sepelatih buat penjaga gol utama mereka, Marc-Andre ter Stegen yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu di luar padang selepas mengalami kecederaan tendon patela pada September lalu.
Bekas penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny, kembali daripada persaraan pada usia 35 tahun untuk memberi bantuan sementara, bermain 30 perlawanan dalam semua pertandingan dan membantu Barcelona menjuarai La Liga.
Bagaimanapun, kontrak jangka pendeknya akan tamat pada penghujung bulan ini. – AGENSI