Muay Thai Terbuka Melaka, pentas bakat baharu Sukma

Sukan

MELAKA: Seramai 300 atlet muay Thai dari seluruh negara akan menyertai Kejohanan Muay Thai Terbuka Melaka yang berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini.

Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Melaka (PMNM), Emrito@Haris Alias berkata, kejohanan itu menjadi pentas mencungkil bakat baharu anak jati Melaka untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan seterusnya menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.

“Pencarian atlet ke Sukma akan melibatkan tiga fasa dan kejohanan ini merupakan fasa pertama untuk kita memilih 16 atlet terbaik bagi mewakili Melaka ke Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di Kuala Lumpur, Julai nanti.

“Sasaran kita adalah untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukma 2026 selepas hanya membawa pulang dua perak dan lima gangsa pada edisi sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejohanan itu turut disertai atlet dari pelbagai negeri termasuk Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor serta negeri-negeri Pantai Timur, dan terbuka kepada peserta berumur antara enam hingga 30 tahun.

Emrito berkata, kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan RM15,000 melibatkan tiga acara utama iaitu tempur, muay boran dan wai kru, selain lapan kategori mengikut berat badan 33 hingga 100 kilogram.

“Kejohanan ini juga menjadi medan pemanas badan sebelum Kejohanan Muay Thai Kebangsaan bulan hadapan. PMNM merancang menganjurkan satu kejohanan bertaraf antarabangsa pada Oktober ini di Alor Gajah yang akan disertai peserta dari lapan negara,” katanya. – UTUSAN