Projek ‘Elite Game’ bentuk pelapis skuad kebangsaan

Sukan

PETALING JAYA:  Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan projek ‘Elite Game’ iaitu program menilai lebih ramai bakat muda sebagai pelapis skuad Harimau Malaya.

Projek itu nampaknya mampu memberi kebaikan dalam usaha pembangunan kepada pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) supaya bersedia menjadi pelapis kepada skuad senior.

Jelasnya, projek itu akan menghimpunkan pemain skuad B-23 yang dilihat berbakat dan berpotensi dalam satu jangka masa yang singkat sebelum mereka bersaing semasa sendiri dalam perlawanan dalaman.

“Projek ‘Elite Game’ ini adalah hasil perbincangan saya dengan jurulatih Peter (Cklamovksi) dan juga jurulatih Nafuzi (Zain) dengan tujuan sebenar adalah menghimpunkan pemain sebelum mereka beraksi dalam perlawanan ‘sparring’ antara mereka.

“Ini bagi mendapatkan keserasian dan juga bagi melihat bakat mereka untuk diketengahkan pada masa hadapan. Kita juga melihat projek ini sebagai persediaan untuk skuad B-23 bagi Piala AFF, Kelayakan Piala Asia dan juga Sukan SEA,” kata Cheng Hoe yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya.

Cheng Hoe juga menjelaskan bahawa skop projek elit tersebut bukan sahaja melibatkan skuad B-23 sahaja tetapi akan diperluas kepada skuad bawah umur yang lain seperti B-18 dan B-20.

“Kita ingin skuad B-18 dan juga skuad B-20 bersama-sama kita dalam projek ini kerana kita mahu mencungkil bakat terbabit untuk perancangan skuad kebangsaan kelak.

“Jadi, kita merancang untuk mengadakan projek ini pada setiap bulan bukan sahaja untuk skuad B-23 tetapi termasuk skuad B-18 dan juga B-20,” ujarnya.-UTUSAN