ACM lancar bilik pameran Isuzu yang dinaik taraf

Perniagaan

PETALING JAYA: Automotive Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. (ACM), ahli kumpulan DRB-HICOM dan pengedar sah Isuzu di Semenanjung Malaysia, melancarkan bilik pameran baharu yang dinaik taraf di Pulau Pinang dan Pahang.

Ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan identiti korporat baharu syarikat yang lebih moden dan berteraskan pelanggan.

Pelancaran rasmi bilik pameran di Juru, Pulau Pinang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia yang baharu, Tomoyuki Yamaguchi bersama Ketua Pegawai Operasi ACM, Mohamad Radzi Omar pada 11 Jun lalu.

Sementara bilik pameran di Kuantan, Pahang pula dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli bersama Yamaguchi dan Mohamad Radzi pada 17 Jun.

Mohamad Radzi berkata, pembaharuan imej korporat ini bukan sekadar penjenamaan semula dari segi visual, sebaliknya melambangkan komitmen jangka panjang ACM dalam mempertingkatkan pengalaman pelanggan serta mengukuhkan kedudukan jenama di pasaran tempatan.

“Bilik pameran yang dinaik taraf ini menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan perjalanan pelanggan yang lebih lancar, menarik dan sejajar dengan jangkaan pengguna automotif masa kini yang semakin canggih.

“Elemen reka bentuk kontemporari dan ciri interaktif kini diterapkan di semua premis ACM bagi memastikan pengalaman premium yang konsisten di setiap titik sentuh pelanggan.

“Pengunjung juga akan disambut dengan paparan LCD bersaiz besar di belakang kaunter penyambut tetamu yang menayangkan video produk Isuzu secara dinamik, selain boleh mengakses maklumat kenderaan melalui tablet digital interaktif yang menggantikan brosur tradisional,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pelanggan turut berpeluang merasai pengalaman digital menerusi ruang interaktif khas yang dilengkapi peralatan realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR), membolehkan pengguna meneroka ciri kenderaan dengan lebih mendalam serta menjalani sesi pandu uji secara maya.

“Pelancaran ini mengukuhkan lagi peranan ACM sebagai peneraju automotif yang progresif dan berpandangan jauh dalam menyampaikan perkhidmatan yang bukan sahaja canggih tetapi juga berfokuskan pelanggan.

“Naik taraf bilik pameran utama di Pulau Pinang, Kuantan dan tidak lama lagi di Johor Bahru adalah bukti misi kami untuk menetapkan penanda aras baharu dalam standard perkhidmatan dan penglibatan pelanggan,” katanya.-UTUSAN