Scheffler mendahului di Kejohanan Travelers

Sukan

CONNECTICUT: Pemain golf No. 1 dunia, Scottie Scheffler mencatat 62 pukulan pada pusingan pembukaan untuk berkongsi kedudukan teratas dengan Rory McIlroy hanya dua pukulan di belakang dengan enam bawah par dalam Kejohanan Travelers di TPC River Highlands, Amerika Syarikat (AS).

Scheffler, 28, menamatkan saingan di 10 teratas dalam Terbuka AS minggu lalu dan kembali kepada prestasi terbaiknya kelmarin dengan eagle di lubang par lima ke-13.

Dia merupakan juara bertahan kini berkongsi kedudukan teratas bersama Austin Eckroat di Connecticut dengan juara kejohanan utama lima kali McIlroy, Keegan Bradley dan Wyndham Clark masing-masing mencatatkan 64 pukulan.

“Saya hanya mahu lihat permainan golf yang baik dan pukulan yang lebih baik. Saya rasa jika anda fokus kepada perkara itu, kualiti permainan golf dan usaha untuk bermain sebaik mungkin, keputusan akan datang dengan sendirinya.

“Tiada gunanya fikir tentang keputusan sekarang. Saya hanya cuba bermain sebaik mungkin dan lakukan hayunan yang baik malah jika saya cukup kerap buat begitu besar kemungkinan saya akan berada dalam kedudukan untuk menang,” kata Scheffler.

Juara kejohanan utama tiga kali, Jordan Spieth terpaksa menarik diri selepas beraksi 13 lubang akibat kecederaan bahu.

Spieth berada lima atas par tanpa birdie memberitahu rakan sepasukannya, Luke Clanton bahawa dia tidak dapat meneruskan cabaran dan dibawa keluar menggunakan kereta buggy.

“Saya tak pernah tarik diri daripada mana-mana kejohanan, di mana-mana peringkat pun, jadi saya tak tahu nak buat apa. Ia jadi terlalu teruk. Saya tak nampak ia akan pulih sehingga mungkin esok (hari ini).

“Kecederaan macam ini selalunya ambil masa lebih sehari dan tak kira apa yang saya buat, ia tetap… entahlah, memang malang. Saya dah buat semua benda dengan betul, dan saya rasa ini berlaku secara rawak sahaja,” kata Spieth. – AGENSI