LIVERPOOL: Pemain tengah baharu Liverpool, Florian Wirtz tekad untuk membantu The Reds memenangi segala-galanya bersama pasukannya itu selepas melengkapkan perpindahan besar dari Bayer Leverkusen kelmarin dalam satu perjanjian yang dilaporkan boleh mencecah rekod yuran perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut laporan media di England, juara EPL itu membayar 100 juta pound (RM572 juta) sebagai bayaran permulaan, jauh mengatasi rekod perbelanjaan mereka sendiri.
Liverpool turut membuat bayaran tambahan 16 juta pound (RM91 juta) dalam bentuk insentif berasaskan prestasi, menjadikannya perpindahan termahal di Britain.
Namun, laporan media Jerman mengatakan jumlah yuran mungkin lebih tinggi, bermula daripada 130 juta euro (RM637 juta) dan boleh mencecah 150 juta euro (RM735 juta) dengan tambahan insentif.
“Saya ingin memenangi segala-galanya setiap tahun!” kata Wirtz dalam laman web rasmi kelab itu.
“Akhirnya, kami mahu berjaya. Musim lalu mereka menjuarai EPL jadi matlamat saya sudah tentu untuk menjuarainya sekali lagi dan juga mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara. Saya benar-benar bersemangat,” katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu memainkan peranan penting dalam musim terbaik Leverkusen apabila menjuarai Bundesliga buat kali pertama dan juga Piala Jerman pada musim 2023-2024 tanpa mengalami sebarang kekalahan di bawah kendalian Xabi Alonso yang kini menyertai Real Madrid.
“Saya sangat teruja untuk memulakan pengembaraan baharu,” tambah Wirtz yang menolak tawaran daripada Bayern demi perpindahan ke England.
“Ini juga adalah salah satu faktor utama dalam pertimbangan saya, saya mahukan sesuatu yang benar-benar baharu, keluar dari Bundesliga dan menyertai EPL,” katanya. – AFP