Maresca terima kekalahan Chelsea

Sukan

PHILADELPHIA: Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca menerima kekalahan 3-1 kepada Flamengo dalam kempen Piala Dunia Kelab kelmarin, namun mengakui kad merah yang dikutip Nicolas Jackson tidak akan menjejaskan masa depannya di Stamford Bridge.

“Enam minit mengubah sepenuhnya dinamik perlawanan,” kata Maresca selepas Flamengo bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 2-1 dengan dua gol pantas sebelum Jackson dibuang padang pada babak kedua menyebabkan Chelsea bermain dengan 10 orang.

Pedro Neto memberikan Chelsea kelebihan awal di Lincoln Financial Field, Philadelphia, namun Bruno yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan sebelum membantu Danilo menjaringkan gol kedua.

Jackson beraksi sebagai pemain gentian menerima kad merah kerana terjahan berbahaya terhadap Ayrton Lucas dan Flamengo memanfaatkan kelebihan itu apabila Wallace Yan menjaringkan gol ketiga pada lewat permainan.

Itu merupakan kad merah kedua Jackson dalam tempoh singkat selepas dia turut dibuang padang ketika kekalahan 2-0 Chelsea kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Mei lalu.

“Kad merah itu tiada kaitan dengan masa depan Nico,” kata Maresca yang turut memberitahu bahawa Jackson telah memohon maaf kepada rakan sepasukannya di bilik persalinan.

“Dia dapat kad merah pertama di Newcastle ketika Liam masih belum menyertai pasukan dan satu lagi hari ini (kelmarin). Hari ini saya tidak pasti 100 peratus sama ada itu benar-benar kad merah tetapi Nico sendiri tahu bahawa dalam kedua-dua situasi itu, ia bukan sesuatu yang baik untuk pasukan,” katanya.

Harapan Chelsea untuk layak ke pusingan 16 terbaik kejohanan masih belum terjamin apabila mereka mengutip tiga mata daripada dua perlawanan dalam Kumpulan D. – AFP