PETALING JAYA: Ikatan cinta antara bintang badminton negara, Ong Yew Sin dan pemain Jepun, Aya Ohori akhirnya disatukan dalam satu majlis perkahwinan sivil di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, kelmarin.
Pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan di hadapan Penolong Pegawai Pendaftaran, Nur Fatehah Razali dalam majlis tertutup yang turut disaksikan oleh wakil keluarga kedua-dua belah pihak.
JPN Melaka dalam kenyataan ringkas menyifatkan mereka berbesar hati menjadi sebahagian daripada momen bermakna itu dan mendoakan kebahagiaan pasangan dua budaya tersebut.
Yew Sin, 30, pernah memenangi gangsa Kejohanan Dunia 2021 bersama gandingannya, Teo Ee Yi dan kini berada di ranking ke-31 dunia dalam acara beregu lelaki.
Ohori, 28, yang mengumumkan persaraan awal tahun ini, mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi kejuaraan Thailand Masters dan Terbuka Australia 2024.
Pasangan merpati dua sejoli itu mengikat tali pertunangan Mac lalu dalam suasana romantis selepas Yew Sin melamar Ohori dan mengumumkan berita gembira itu menerusi media sosial.
“Berbeza negara, budaya dan gaya hidup. Kami belajar menyesuaikan diri serta memahami satu sama lain sepanjang tahun-tahun ini,” tulis Yew Sin dalam satu hantaran di laman sosialnya, Mac lalu.
Perkahwinan itu sekali gus menyatukan dua jaguh dari dua benua yang pernah mewarnai kancah badminton dunia dengan karier masing-masing. – UTUSAN