Lawan Pas atas semangat politik, bukan musuh – Johari Ghani

Politik

KOTA BHARU: Persaingan dengan Pas perlu berlangsung atas semangat politik yang sihat, bukan menerusi permusuhan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Pas adalah parti yang turut dianggotai oleh Melayu dan Islam, justeru sebarang persaingan politik perlu berlangsung secara matang.

“Kalau kita mahu berlawan dengan Pas, kita perlu hadapi mereka dengan semangat politik, bukan sebagai musuh.

“Sebab itu saya selalu ingatkan kepada wakil rakyat yang dipilih, bahawa rakyat (pengundi) kita juga mereka yang menyokong Pas,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2025, di sini hari ini.

Johari berkata, perbalahan antara UMNO dan Pas hanya menambah masalah, sedangkan rakyat mahukan pemimpin yang membawa agenda pembangunan.

“Kita semua orang Melayu, orang Islam. Tidak perlu berbalah.Kita sudah beri peluang kepada Pas selama tujuh penggal. Sekarang, kalau kita ada pemimpin muda yang boleh membawa pembangunan, mengapa tidak kita beri peluang.

“Kalau wakil rakyat  tidak membantu, bantuan kita kepada rakyat adalah atas rasa ihsan dan tanggungjawab,” katanya.

Johari berkata, landskap politik hari ini turut memperlihat peningkatan golongan pengundi atas pagar yang semakin kritikal dalam menentukan keputusan pilihan raya.

“Dulu 20 peratus, kemudian meningkat kepada 40 peratus, kini sudah mencecah 60 peratus.

“Dalam politik hari ini, berkongsi kuasa menjadi satu keperluan kerana untuk sebuah parti yang menang 112 kerusi secara bersendirian adalah satu perkara yang hampir mustahil,” katanya. – UTUSAN