PETALING JAYA: Teka-teki siapa bakal menjadi pengendali baharu Kuala Lumpur City (KL City) akan terjawab esok selepas mesyuarat pihak pengurusan bersama ahli lembaga pengarah.
PengerusiKL City, Syed Yazid Syed Omar berkata, selain jawatan ketua jurulatih, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai barisan pemain yang bakal membawa cabaran The City Boys di saingan Liga Malaysia musim 2025-26.
Ketika ini Risto Vidakovic menjadi calon pilihan daripada lima nama yang disenarai, bersama Fandi Ahmad, Milomir Seslija, Sulaiman Hussin dan S. Balachandran bagi mengemudi bekas juara Piala Malaysia 2021.
“Selasa baru mesyuarat tentang perkara ini dan putuskan siapa jurulatih serta barisan pemain baharu KL City bagi musim baharu,” kata Syed Yazid yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jurulatih berpengalaman dari Serbia itu sememangnya tidak asing dalam kancah bola sepak Asia Tenggara.
Pada musim 2022, beliau pernah mengemudi Melaka United dalam Liga Super dan turut membimbing kelab-kelab seperti Lion City Sailors (Singapura), PSS Sleman(Indonesia), Ceres Negros (Filipina), serta kelab Sepanyol, Cádiz.
Vidakovic juga pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia sekitar 2006 hingga 2007 sekali gus bakal membawa era baharu buat KL City.
Dalam usaha menstabilkan kewangan kelab, KL City bakal melakukan penstrukturan semula terhadap gaji pemain dengan pembayaran gaji kepada pemain dalam lingkungan RM5,000 hingga RM20,000 sahaja musim ini.
KL City juga difahamkan bakal diperkuatkan beberapa pemain bintang dalam Liga Malaysia antaranya Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Adam Norazlin, Syazwan Andik, Fadhli Shaas dan Tommy Mawat.-UTUSAN