MBSB Bank lancar Retailer Dashboard

Perniagaan

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) melancarkan MBSB Retailer Dashboard, penyelesaian perbankan digital pertama yang dibangunkan secara tempatan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor peruncitan memantau dan mengautomasi urus niaga harian mereka.

Papan pemuka digital itu direka khas untuk memberi paparan menyeluruh terhadap transaksi masuk di semua cawangan, platform serta saluran pembayaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai laporan berasingan dan kerja manual.

Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, penyelesaian tersebut menawarkan kemudahan kepada PKS dalam mengurus kewangan secara lebih cekap dan berkesan.

“Teknologi ini dibina berasaskan keperluan sebenar para peniaga yang berdepan pelbagai sistem pembayaran seperti ‘in-store’ Point of Sale (POS), eWallet, terminal kad dan aplikasi penghantaran makanan.

“Dengan pelancaran ini, kami membantu mereka melihat kedudukan kewangan sebenar secara langsung, automatik dan boleh diambil tindakan segera,” katanya dalam majlis pelancaran di Menara MBSB Bank, semalam.

Jelas beliau, antara fungsi utama yang ditawarkan termasuk penjejakan berpusat bagi semua saluran pembayaran, pemadanan jualan dan kutipan secara automatik, amaran segera terhadap sebarang ketidakpadanan serta pendamaian harian yang menjimatkan masa dan tenaga.

Pada majlis sama, dua syarikat peruncitan iaitu Kapten Batik dan Richiamo Coffee menandatangani perjanjian kerjasama sebagai rakan pengguna baharu, menyertai QBistro yang merupakan pengguna awal sistem tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hajris Group Sdn. Bhd., Riyasutin Mohammed Dulkif berkata, papan pemuka itu membolehkan pihaknya menumpukan sepenuhnya kepada perkhidmatan pelanggan tanpa dibebani urusan laporan kewangan yang rumit.

“Sebagai rangkaian makanan dan minuman (F&B) yang bergerak pantas, kami perlukan alat yang pantas dan jelas.

Dashboard ini bantu kami pantau semua cawangan sekali gus,” katanya.

Pengarah Richiamo Coffee, Nurul Nabilah Muhamad Zamry berkata, sistem tersebut ibarat pusat kawalan kewangan yang membolehkan pihaknya menjejak pendapatan, mengenal pasti aliran dan mendamaikan pembayaran dalam satu paparan.

“Ia benar-benar mengubah cara kerja kami dan menjadikan urus niaga lebih sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, MBSB Bank menyasarkan untuk melibatkan antara 30 hingga 50 pengendali PKS utama pada tahun pertama pelancaran dan menjangkakan kadar penggunaan meningkat 30 peratus pada tahun kedua.

Pelancaran MBSB Retailer Dashboard merupakan sebahagian daripada pelan transformasi FLIGHT26 MBSB Bank, selepas pengenalan Akaun Semasa Perniagaan secara dalam talian sepenuhnya sebelum ini, bagi memperkasa digitalisasi dalam kalangan PKS.-UTUSAN