PETALING JAYA: Citaglobal Bhd. (Citaglobal) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Republik Kyrgyz (MEKR) bagi memajukan projek-projek tenaga di negara tersebut.
Ini khususnya dalam pembinaan kemudahan tenaga boleh baharu dengan kapasiti sehingga 250 megawatt (MW) dengan potensi untuk pengembangan selanjutnya selaras dengan pelan hala tuju tenaga bersih negara tersebut.
Pemeteraian MoU dengan MEKR ini menandakan penembusan Citaglobal ke dalam pasaran tenaga Asia Tengah, sejajar dengan cita-cita jangka panjang kumpulan untuk menjadi pemain infrastruktur dan tenaga serantau di pasaran baru muncul yang mempunyai pertumbuhan tinggi.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Berhad, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, pemeteraian MoU ini menandakan satu peristiwa penting yang strategik bagi Citaglobal dalam usaha kami untuk berkembang ke pasaran tenaga Asia Tengah.
Katanya, ia mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong negara-negara membangun yang pesat seperti Republik Kyrgyz dalam memajukan cita-cita tenaga bersih mereka.
“Usaha pembangunan kami akan disokong lagi oleh rakan kongsi tenaga global yang mempunyai kepakaran teknikal yang mendalam dan rekod prestasi antarabangsa yang terbukti, seterusnya mengukuhkan keupayaan kami untuk memberikan penyelesaian tenaga boleh baharu yang berimpak di Republik Kyrgyz.
“Kerjasama ini bukan sahaja sejajar dengan kepakaran kami dalam tenaga boleh baharu dan infrastruktur, tetapi juga mengukuhkan visi jangka panjang kami untuk menjadi peneraju serantau di seluruh koridor Eurasia,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung pada semalam di Kuala Lumpur semasa lawatan rasmi Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov ke Malaysia.
Mohamad Norza berkata, usaha antarabangsa Citaglobal di Azerbaijan, Indonesia dan kini Republik Kyrgyz adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan.
Katanya, ini dengan yang memberi tumpuan kepada sokongan terhadap peralihan tenaga di pasaran-pasaran yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Kaspia, Asia Tengah dan Asia Tenggara.
“Dengan memanfaatkan kekuatan daya saing kami sebagai rakan kongsi yang berfokuskan pelaksanaan, Citaglobal berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan agenda tenaga bersih negara dan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan,” ujarnya.
Susulan pemeteraian MoU tersebut, sebuah kumpulan kerja bersama akan dibentuk untuk membangunkan program kerjasama dan interaksi yang komprehensif antara Citaglobal dan MEKR bagi pelaksanaan projek-projek di Republik Kyrgyz.-UTUSAN