Muda tawar Syed Saddiq kembali terajui parti

Politik

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menawarkan semula jawatan Presiden kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abd. Rahman selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada semua pertuduhan kes pecah amanah.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, tawaran itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP)  yang diadakan malam semalam dengan keputusan sebulat suara memutuskan menawarkan semula jawatan tersebut kepada Syed Saddiq.

“Tawaran dibuat di atas dua prinsip iaitu Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integritinya melalui proses mahkamah yang telus serta adil.

“Syed Saddiq dengan secara konsisten, mempertahankan maruah dan nama baik Muda sepanjang menjadi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatan Presiden Muda yang disandang Syed Saddiq telah dikosongkan sepanjang proses mahkamah berlangsung dan dipangku olehnya selaku Timbalan Presiden parti.

Katanya, beliau juga perlu merekodkan keputusan parti untuk mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah satu iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah.

“JKEP berpandangan bahawa dengan kembalinya Syed Saddiq dalam tampuk kepimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti terutamanya dalam usaha mengemudi parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Namun pada masa yang sama, JKEP juga menghormati keperluan Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran ini dan telah bersetuju untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada beliau,” katanya.

Katanya, selepas lima tahun berdepan dengan pendakwaan dan proses mahkamah, beliau amat memahami keperluan untuk parti memberikan ruang yang cukup kepada Syed Saddiq memberi keutamaan urusan keluarga sebelum kembali menggalas amanah sebagai Presiden.

“Bagi saya, keluarga lebih utama. Saya juga ingatkan bahawa Syed Saddiq masih berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan kawasan Parlimen Muar. 

“Politik khidmat Syed Saddiq tidak pernah culas. Itu jelas tidak ada perubahan. Paling penting, Muda akan sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Syed Saddiq,” katanya. – UTUSAN