KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kuasa kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk membuat keputusan berhubung usul UMNO Bahagian Sembrong mengenai penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya, meskipun tiada sebarang permohonan rayuan yang diterima sehingga hari ini, namun MT masih boleh membuat keputusan tersebut jika usul tersebut dibawa ke dalam majlis berkenaan selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.
“Oleh kerana tiada satu pun surat rayuan dari pada pemohon berkenaan, maka kita akan lihat apa yang dikemukakan Menteri Besar Johor untuk dibincangkan dalam Biro Politik nanti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar, di sini hari ini.
UMNO Sembrong sebelum ini dilaporkan meluluskan usul menggesa kepimpinan parti agar menerima semula Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Bahagiannya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong itu, berjanji akan membawa usul itu kepada pucuk pimpinan parti.
UMNO menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023 dengan surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.
Ahli Parlimen Sembrong itu sebelum ini berkata, beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.-UTUSAN