Dua beregu Malaysia muncul naib juara Kejohanan Asia

Sukan

PETALING JAYA: Pulang dengan tangan kosong, pemain skuasy negara gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas tewas dalam perlawanan akhir kepada pencabar masing-masing pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, hari ini.

Dalam saingan beregu wanita, gandingan muda Malaysia, Noor Ainaa Amani Ampandi-Yee Xin Ying tewas kepada Joshana Chinappa-Anahat Singh 11-8, 9-11, 10-11 dalam masa 35 minit.

Kem negara terus suram selepas beregu campuran, C. Ameeshanraj-Rachel Arnold pula tumbang kepada pilihan pertama, Abhay Singh-Anahat Singh juga dari India 11-9, 11-7 dalam masa 28 minit.

C. Ameeshanraj-Rachel Arnold tewas kepada beregu India, Abhay Singh-Anahat Singh dalam perlawanan akhir beregu campuran pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, hari ini. – Ihsan SRAM

India mendominasi kesemua kategori acara beregu apabila gandingan lelaki, Abhay Singh-Velavan Sinthilkumar menumpaskan wakil Pakistan, Noor Zaman-Nasir Iqbal 9-11, 11-5, 11-5 dalam masa 88 minit.

Minggu lalu, Rachel turut terlepas peluang menamatkan kemarau 10 tahun perseorangan wanita selepas kecundang di tangan pemain Hong Kong, Tomato Ho Tze Lok pada final Kejohanan Skuasy Individu Asia.

Tanpa bintang No. 8 dunia, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow yang merupakan pemain No. 13 dunia, cabaran Malaysia sedikit tumpul.

Sivasangari tidak beraksi pada Kejohanan Asia kerana terlibat dalam Kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Toronto, Kanada.

Anak jati Kedah itu melakukan kemunculan sulung pada kejohanan tersebut selepas layak secara merit selaku pemain yang berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.

Namun, malangnya dia gagal mara ke separuh akhir selepas tewas dalam kesemua perlawanan Kumpulan B.

Perseorangan lelaki No. 1 Malaysia, Ng Eain Yow pula yang merupakan juara bertahan mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Asia. – UTUSAN