KUALA LUMPUR: Akuatik Malaysia (MAS) kini sudah giat mengesan bakat-bakat perenang warisan negara yang menetap di luar negara dalam usaha memperkukuhkan skuad kebangsaan.
Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua Yu Ching, berkata, inisiatif itu selaras dengan pendekatan negara-negara jiran seperti Singapura yang aktif memburu atlet berdarah Singapura yang menetap di luar negara.
“Kita memang sudah mula usaha ini sejak beberapa tahun lalu. Malah, sudah ada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara sendiri tampil menghubungi kami untuk menyatakan minat mewakili negara,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Akuatik Malaysia Ke-56.
Marilyn juga berkata , tiada jalan mudah buat atlet warisan untuk menyertai skuad negara kerana sukan renang adalah berdasarkan merit sepenuhnya.
“Renang adalah sukan yang sangat objektif. Kita ada penetapan masa kelayakan yang perlu dipenuhi untuk setiap kejohanan.
“Tidak kira anda rakyat Malaysia yang tinggal di luar atau dalam negara, kalau tidak capai masa yang ditetapkan, anda tidak layak,” katanya.
Untuk makluman, MAS kini dilihat memberi tumpuan terhadap beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand dan Australia yang dipercayai mempunyai perenang berdarah Malaysia sekali gus mampu membawa negara melangkah lebih jauh.

Tambahnya, setakat ini sekitar lima hingga sepuluh bakat muda dari luar negara berusia antara 14 hingga 19 tahun telah dikenal pasti dan menunjukkan prestasi memberangsangkan, termasuk beberapa yang beraksi di SEA Age Group minggu ini.
Mengulas mengenai perkembangan keseluruhan sukan renang negara, beliau optimis dengan pertumbuhan positif yang berlaku hasil program pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Kita ada program pembangunan menyeluruh daripada peringkat akar umbi sehingga ke peringkat elit.
“Dalam masa yang sama, kita juga sentiasa membuka ruang kepada bakat luar negara untuk bersama menguatkan skuad negara,” katanya.-UTUSAN